Hijrah Ana Raffali demi Muslimah sejati
Terkenal trademark berbaju kurung atau kebaya ketika mengadakan persembahan, penyanyi, Ana Raffali, yang sebelum ini tampil imej sopan kini semakin ayu apabila mengenakan hijab.
Pelantun lagu Tolong Ingatkan Aku ini membuat keputusan untuk bertudung litup pada sambutan Maulidur Rasul lalu.
Menganggap penghijrahannya itu bukan satu percubaan atau trend, Ana atau nama sebenarnya, Ana Nur Hidayah Mohd Raffali, menyifatkan keinginan bertudung lahir daripada hatinya sendiri.
Tambahnya, keputusan yang dibuat itu bukan disebabkan desakan keluarga atau orang terdekat, tetapi ia atas keinginan menjadi Muslimah lebih baik.
“Soal bertudung ini bukan satu perkara yang boleh dibuat main dan juga bukan merupakan percubaan atau fesyen. Ia timbul atas keinginan untuk cuba menjadi Muslimah lebih baik.
“Alhamdulillah, keputusan saya untuk bertudung menerima sokongan daripada keluarga dan orang terdekat.
“Malah, saya sudah mula mengenakan tudung semasa mengedarkan kad jemputan kahwin kepada bekas pensyarah di universiti. Jadi, keluarga mahupun bakal suami tidak terkejut dengan keputusan itu,” katanya yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 25 Februari ini
Mengaku pernah berkongsi hasrat mengenakan tudung kepada ibunya, Ana berkata, keluarga dan bakal suaminya, Aznaim Abdullah, 30, tumpang gembira dengan perubahan dilakukan.
Menurutnya, sukar menggambarkan perasaannya ketika itu tatkala ‘seruan’ untuk penghijrahan tersebut berlaku
“Apa yang boleh saya katakan adalah timbulnya satu dorongan atau keinginan yang begitu kuat untuk mengenakan hijab sewaktu tengah hari ketika saya hendak keluar makan,” katanya yang ketika itu berada di studio bagi menyiapkan kerja-kerjanya.
Penyanyi yang berusia 27 tahun ini juga berhasrat mendalami lebih banyak ilmu agama selepas ini.
Berpendapat setiap insan akan melalui fasa peralihan dalam kehidupan mereka, Ana bersyukur menerima sokongan daripada bakal suaminya untuk berhijrah ke arah kebaikan.
“Sebelum ini pun, saya dan bakal suami sering berbincang mengenai perkara berilmiah bagi melengkapkan diri kami dengan ilmu.
“Insya-Allah selepas berkahwin, kami masing-masing akan terus mendalami ilmu agama bagi melengkapkan diri dan cuba menjadi lebih baik daripada sebelum ini,” katanya yang semakin sibuk menyediakan persiapan untuk perkahwinan.
Debaran bergelar isteri
Hanya tinggal dua minggu sahaja lagi untuk melangkah ke fasa baru dalam hidupnya. Bagaimanapun, Ana berharap segala perancangan untuk hari tersebut berjalan lancar.
Mengaku berdebar menunggu tarikh 25 Februari ini, Ana bersyukur kerana dibantu keluarga dan rakan terdekat dalam menyiapkan urusan perkahwinan.
“Alhamdulillah, persiapan majlis setakat ini berjalan lancar. Saya lebih tertumpu kepada persiapan hantaran untuk diberikan kepada bakal suami,” katanya yang menyediakan sembilan dulang hantaran dengan warna tema perak putih untuk diberikan kepada pihak lelaki.
Mengambil keputusan untuk tidak bersanding, pasangan ini memilih untuk diraikan di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati
No comments:
Post a Comment
boleh saja komen disini tapi jangan berlebih-lebih memaki.jika memaki juga kami tidak bertanggungjawab.