Datuk Dr Hasan Ali Perlu Muhasabah Diri

PEMUDA SELANGOR MINTA DATUK HASSAN ‘MUHASABAH DIRI’


DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR menasihatkan Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali supaya ‘muhasabah diri’ sendiri mengapa beliau dipecat keahliannya dan bukannya meletakkan kesilapan diri terhadap orang lain dengan mewujudkan fitnah ‘parasit ‘ dan sebagainya. Sekiranya wujud parasit di dalam PAS seperti yang disebut maka sewajarnya Datuk Hasan membuat laporan kepada Presiden PAS untuk di ambil tindakan susulan dan bukannya ‘menjaja’ di dada-dada akhbar semata-mata untuk mengharapkan simpati masyarakat.

Sebagai orang yang pernah memegang jawatan tinggi di dalam PAS dan berpengalaman sebagai seorang ahli motivasi, Datuk Hasan sepatutnya berjiwa besar untuk menerima teguran dan keputusan parti serta mengikut prosedur parti untuk merayu keputusan pemecatan beliau. Tetapi beliau telah menunjukkan ‘belang’ sebagai seorang yang egois, degil, sombong dan tidak boleh ‘dikawal’ oleh peraturan parti.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melihat tindakan Datuk Hasan ingin ‘menjelajah’ seluruh negeri dan negara untuk ‘membela’ diri dan ‘mendedahkan parasit’ yang menyebabkan beliau dipecat hanya akan mendapat cemuhan dan cercaan masyarakat serta menghilangkan hormat rakyat kepada beliau kerana rakyat telah mengikuti kronologi pemecatan beliau dan telah ‘mengenali’ siapa Hasan Ali yang sebenarnya. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor tidak akan berdiam diri malah bersedia untuk ‘menjelajah’ seluruh negeri Selangor untuk menjawab tohmahan dan fitnah Datuk Hasan terhadap PAS sekiranya beliau masih lagi memperlekehkan dan menghentam PAS secara terbuka.  

Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga Datuk Hasan akan menyedari kesalahan dan kesilapan yang telah beliau lakukan terhadap parti PAS dan memohon maaf kepada seluruh pimpinan dan ahli PAS di atas segala ketelanjuran dan keceluparan beliau sebelum ini. Janganlah disebabkan oleh kehilangan jawatan dan kuasa menyebabkan maruah diri sanggup digadaikan dan diperkudakan oleh Umno/Barisan Nasional.

MOHD SANY BIN HAMZAN

No comments:

Kandungan lama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...