Foto-Foto Terakhir Bob Kuman Sebelum Disahkan Meninggal Dunia..


Dari Blog Mazidul Akmal.
Berikutan laporan itu, banyak pihak menghulurkan bantuan kepada anak kelahiran Kampung Sega Tengah, Rantau, Negeri Sembilan terbabit.

"Bang, terima kasih kerana menolong saya," ujar arwah berkali-kali. 

"Bob, saya hanya membantu sedaya mungkin"

Hanya kenyataan itu mampu saya ungkapkan.

Arwah ternyata amat terharu berikutan sumbangan dihulurkan orang ramai bersimpati terhadap keadaannya. Untuk rekod, dia antaranya disahkan mengidap sakit jantung, darah tinggi dan penyakit terlalu mudah tertidur.

Mewakili keluarga arwah, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua memberikan sokongan moral dan kewangan.


Melalui pengamatan saya, Bob tetap bersabar setiap kali akaun Maybank miliknya disekat sekaligus menggagalkan usaha orang ramai mendepositkan sumbangan mereka ke akaunnya.


Baca laporan di sini.

"Bang, macam mana saya hendak ke bank membuat justifikasi sedangkan hendak bangun dari katil pun saya tidak berdaya," katanya.

Saya melihat penderitaan dilalui oleh arwah. 

Kali pertama bertemu Bob pada 15 April lalu, sambil berbual dia kelihatan sukar bernafas namun sedaya upaya mencuba menerangkan situasi sebenar. Lihat aksi arwah 17 hari sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.


"Biar aku pegang mikrofon ini, lama tidak keluar TV," usiknya.  

Dalam derita, Bob masih mampu bergurau senda ketika dikunjungi oleh wakil media cetak dan elektronik di rumahnya.


"... lu fikirlah sendiri," ujarnya dalam nada bergurau.



Kenyataan itu ditujukan kepada David Teo berikutan ketidakpuasan terbuku di hatinya.

"... kita kesian dia laaa dari dahulu sebelum saya jumpa dia, dia sudah ada masalah kesihatan. Dia minta saya untuk bagi peluang bekerja. Saya kata, kamukan ada masalah kesihatan. Boleh ke kamu kerja? Dia kata boleh. Sebelum dia pergi saya punya lokasi, so hospital Tawakal saya bersama dia punya kru hantar sumbangan untuk tolong dia melunaskan baki daripada Tawakal, RM5, 000. Tak payah pinjam, saya bayar kamu sumbangan. Apabila di dalam sedih, production manager bawa dia pergi, bukan seperti yang ditunjukkan pada gambar sebab dia lelah bukan dia jatuh. Saya terkilan sebab kata saya abaikan. Kalau dia hendak minta gaji, itu sedekah, dia boleh terus kepada saya. Tak perlu melalui publisiti seperti saya menganiayai dia. Tak adil bagi saya lah ... Tuhan kata memaafkan orang, kita akan banyak rezeki. Saya sentiasa memaafkan banyak orang ... Dia bagi tahu kita, biar saya hantar pegawai, saya pun sentiasa di luar negara. Tak ada masalah, dia orang sakit. Sekiranya dia mahu MINTA SEDEKAH, beri tahulah tetapi jangan menganiaya orang lah"

Kenyatan di atas diungkapkan oleh David (sumber : tonton.com.my) sewaktu dihubungi oleh wartawan Melodi melalui telefon dan kenyataan terbabit disiarkan di rancangan hiburan secara langsung terbitan TV3 itu, dua minggu lalu.

Izinkan saya berkongsi sedikit maklumat bersama David dan semua pembaca blog ini. Barangkali dakwaan jutawan terbabit bahawa beliau pernah menghulurkan bantuan kewangan kepada arwah benar biarpun saya tidak melihat buktinya lagi tetapi ketahuilah masih ramai lagi rakyat Malaysia berhati mulia biarpun bukan berstatus jutawan. Mereka tanpa sebarang persoalan dan pertikaian membantu Bob melalui pelbagai kaedah tanpa nama disebut.

Sebilangan hadir ke rumah arwah contohnya memberikan ubat tradisional manakala sebilangan lagi menghulurkan bantuan dalam bentuk wang tunai.

Ingin saya tegaskan di sini, arwah BUKAN PEMINTA SEDEKAH, dia penerima derma ikhlas disumbangkan oleh anggota masyarakat pelbagai bangsa berhati mulia.

Teringat saya kepada kenyataan rakan, Razali Harun sebelum ini.

"Dia (Bob) sebenarnya bukan mementingkan duit sangat bro tetapi jika boleh cuma ingin diziarahi oleh rakan dan kenalan dalam keadaan begini"

Ahli politik mewakili PAS dan Barisan Nasional, ahli SENIMAN, persatuan kebajikan, rakan artis dan ramai lagi sempat singgah menziarahi arwah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

Benar kata David, barangkali kerana kesibukan tugas, dia sentiasa berada di luar negara, masakan mempunyai masa terluang menziarahi pelakon dan pelawak terlantar sakit.

Itu bukan tanggungjawab dia dan pegawainya jadi mereka tidak boleh dipersalahkan.

"Bang, saya bukan hendak meraih simpati. Bukan desperado. Kalau abang hendak menolong saya, elok kalau iklankan barangan cendera hati saya jual seperti topi dan baju di blog, " pintanya kepada saya sejak hari pertama saya menulis entri berhubung penderitaannya.

Untuk pengetahuan semua, Bob tidak pernah meminta saya memulis entri berhubung seksa ditempuhnya di blog ini. 

Saya menulis entri disebarkan ke seluruh negara itu dan sekaligus memancing perhatian media itu dengan kehendak hati sendiri.

"Bob, sihat dahulu dan kemudian kita bincangkan fasal iklan. Sebenarnya mereka menderma itu peminat awak dan menghargai awak sebagai anak seni. Barangkali, awak pernah membuatkan mereka tertawa sebelum ini. Justeru tidak salah jika mereka membantu sewaktu awak dilanda musibah," balas saya.

Kita harus ingat, kuasa dan kekayaan, milik Allah. Jika Allah ingin menarik kembali segala rezeki dianugerahkan kepada makhluk bergelar manusia, sekelip mata bakal hilang segalanya tanpa mengira status, bangsa dan agama manusia.

Sewaktu tiba di rumah arwah pada jam 4.33 petang tadi, saya melihat Bob terbaring di atas katil. Jururawat peribadinya, Mohd Farid Hamzah dan pembantunya, Kamer Farhan Kamaludin, 23 tahun, sedang melakukan CPR dengan harapan Bob kembali bernafas. 


"Berapa lama sudah melakukan CPR?," soal saya kepada Farid.

"Lebih kurang dua puluh minit bang," balas graduan lulusan Kolej Segi juga kru Penyingkap Fakta 666 itu.

Kedua mereka kelihatan penat namun tetap bersilih ganti melakukan CPR.

Farid melihat tepat ke arah saya menggelengkan kepala. Bibir arwah kelihatan berwarna biru gelap dan tubuhnya  langsung tidak menunjukkan sebarang respon positif. 


Dia faham maksud gelengan itu. Mereka telah mencuba kaedah terbaik untuk menyelamatkan Bob namun gagal.


Dua kakitangan ambulan dari Hospital Sungai Buloh tiba di rumah kira-kira jam 4.37 petang tadi dan membuat pemeriksaan teliti ke atas tubuh Bob.


"Tiada denyutan nadi, tiada degupan jantung dan anak mata sudah membesar," jelas kakitangan hospital itu.

"Elok kalau encik memberitahu isteri abang Bob," celah Farid.

Farid ternyata bersedih.

"Macam abang saya. Saya mula menjaga abang Bob sejak 17 April lalu sampailah semalam," bisiknya kepada saya.


Isteri arwah, Norma Othman, 29 tahun, berasal dari Mukah, Sarawak, dinikahinya pada 8 April lalu mengalirkan airmata sebaik dimaklumkan berhubung pemergian suaminya.

Untuk pengetahuan semua, Norma dan arwah berkongsi tarikh lahir sama, 15 April. 


Lantas saya memyedekahkan Al-Fatihah pertama buat arwah sebelum jenazah ditutup menggunakan kain.


Sewaktu dua kakitangan hospital bergerak keluar dari bilik, saya terpandang dua topi keledar mainan diletakkan di atas almari berhampiran katil arwah.


Biarpun berat tubuhnya sewaktu hidup dilaporkan melebihi 200 kilogram, di hatinya tersemat sifat anak kecil, menggemari permainan sebegitu barangkali untuk menghiburkan sanubarinya ketika terluka berikutan sifat beberapa manusia sebelum ini menjadi kenalannya.

Untuk rekod, topi terbabit mempunyai pembesar suara di bahagian dalam. Jika pengguna bercakap sewaktu memakai topi itu, suaranya bertukar menjadi besar seperti suara robot.

Untuk rekod, jenazah Bob dimandi dan disembahyangkan di Masjid Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor sebelum dibawa ke rumah  keluarga arwah di 1763  Kampung Sega Tengah, 71200 Rantau Negeri Sembilan.

"Jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Sega Tengah ini, jam 10 pagi esok. Kami sampai tadi kira-kira jam 11.35 malam," lapor Azayusrin.

Kru 666, Razali Harun, Azayusrin, Adam dan Farid kini berada di rumah arwah.


Al-Fatihah!

No comments:

Kandungan lama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...