Bekas naib ketua wanita Umno, Kamilia Ibrahim hari ini mendedahkan
kenapa dia sanggup menjadi calon Bebas untuk bertanding walaupun tahu
dia bakal dipecat dari parti.
Kepimpinan tertinggi Wanita Umno tiada tempat dalam pilihanraya umum 5
Mei ini merupakan punca utama mengapa Kamilia tidak teragak-agak
menyerahkan kertas pencalonannya bertanding di parlimen Kuala Kangsar
menentang calon Umno sendiri, Wan Muhamad Khairil dan calon PAS mewakili
Pakatan Rakyat, Khalil Idham Lim.
Malah BEKAS ketuanya, Shahrizat Jalil yang pantas mempertahankan
keputusan presiden Umno, Najib Razak dan pengerusi badan perhubungan
Umno Perak, Zambry Abdul Kadir tidak mahu mengulas lanjut mengenai
kejutan yang dilakukan Kamilia bertujuan untuk tidak menambah garam pada
luka yang sudah pun parah.
Alasan Zambry bahawa suara akar umbi lebih mahukan Khairil juga dilihat
dangkal kerana pengundi tegar Umno yang selama ini diwakili BEKAS ahli
parlimen Kuala Kangsar, Rafidah Aziz, sudah maklum bahawa Kamilia lah
calon yang sesuai diletakkan berbanding dengan Khairil yang lebih rapat
dengan pemimpin Umno atasan.
Tindakan Zambry menempelak Kamilia bukti satu lagi perpecahan tak
terduga, bukan setakat dialami Umno Perak malah di seluruh negara.
Malah Najib sendiri kelmarin sudah mula mengeluarkan arahan supaya
Kamilia 'diberi perhatian sewajarnya' kerana tanda-tanda untuk belot
dari parti ternganga luas.
Wanita Umno yang selama ini dianggap tulang belakang kepada kemenangan
parti itu kini sudah ibarat kupang tembaga tak laku seduit pun.
Bayangkan bagaimana wanita Umno bersusah payah merayu undi dari rumah ke
rumah, berpanas dan berhujan serta sanggup bersengkang mata menyiapkan
bahan kempen untuk dipasang oleh Pemuda Umno, kini itu semua sudah tidak
bermakna lagi.
Mungkin sesetengah dari kita bersetuju dengan kenyataan Zambry bahawa
Kamilia hanya mementingkan diri dari parti, tetapi lihatlah siapa pula
barisan calon wanita Umno yang diketengahkan kali ini.
Bukannya hendak memandang rendah kemampuan Azalina Othman Said di
parlimen Pengerang, Noriah Kasnon di parlimen Sungai Besar serta ketua
puteri Umno, Rosnah Abdul Rashid Shirlin di parlimen Papar, tetapi
kesemua mereka cuma setakat menjadi timbalan menteri sahaja melainkan
Azalina yang dilantik menteri semasa pentadbiran Abdullah Badawi, itu
pun atas kouta puteri Umno sebelum digugurkan apabila mencecah usia 40
tahun.
Saya melihat Shahrizat dari sisi lain kesan daripada pemecatan automatik
Kamilia kerana umum sudah mengetahui persengketaan lama antara dua
pemimpin tertinggi Umno dan BN itu semasa isu skandal lembu RM250 juta
yang membabitkan keluarga Shahrizat.
Ketika itu, Kamilia dilihat terlalu vokal menghentam Shahrizat hinggakan
kedua-dua mereka terpaksa ditenangkan seketika takut-takut persiapan
pilihanraya umum terjejas hingga boleh menyebabkan kekalahan BN.
Dan kali ini giliran Kamilia pula ditempelak Shahrizat dengan mengatakan
keputusannya hanya bernafsu peribadi bagi mengejar impiannya mencabar
Shahrizat sebagai ketua wanita Umno dalam pemilihan agung parti itu yang
sudah tertangguh lebih tiga tahun.
Kata orang, pulang paku buah keras.
Dipercayai ada campur tangan supaya Kamilia hanya diletakkan sebagai
calon DUN seperti mana yang dilakukan ke atas ketua penerangan wanita
Umno, Hamidah Osman yang bertanding di DUN Sungai Rapat.
Kamilia mungkin sudah mengetahui had dan sekatan yang ada sekiranya
hanya menang di kerusi DUN kerana setakat cuma dilantik sebagai Exco
kerajaan negeri pun belum tentu dia terpilih kerana perlu pula bersaing
dengan Hamidah untuk melengkapkan kouta wanita Umno dalam kerajaan
negeri.
Hamidah diletak sebagai Exco dalam pentadbiran kerajaan HARAM Zambry
tetapi dikhabar mempunyai masalah dengan Umno bahagian Gopeng hingga
surat rayuan turut dihantar kepada Zambry jam 12 tengah malam beberapa
hari sebelum BN mengumumkan calonnya.
Itulah sebabnya dia terus mara mempertahankan haknya bertanding di
kerusi parlimen kerana merasakan peluangnya untuk mencabar Shahrizat
sebagai bosnya seterusnya menjawat jawatan menteri pembangunan wanita,
keluarga dan masyarakat terbuka luas.
Rata-rata pengundi di Kuala Kangsar akan mengundi Kamilia berbanding
dengan pencabarnya, Khalil Idham sekiranya pertandingan dua penjuru
diadakan kerana Khalil sendiri pun mempunyai masalah dengan pengundinya
di DUN Titi Serong.
Tetapi itu tidak berlaku dan Umno sendiri memilih jalan berliku
menghadapi tentangan Kamilia dan Khalil untuk mempertahankan kerusi yang
menjadi kubu kuat Umno selama ini tetapi hampir roboh ekoran Rafidah
cuma menang lebih 1,400 undi dalam pilihanraya umum lalu.
Kamilia melihat kepupusan calon wanita Umno semakin serius selepas
pengumuman Shahrizat tidak bertanding dan sebab itulah dia diberi
'restu' untuk berkempen di Kuala Kangsar bagi meneruskan warisan Rafidah
di bandar diraja Perak itu seberapa lama yang boleh.
Sudah menjadi rahsia umum bagaimana Rafidah dimalukan Shahrizat semasa
pemilihan wanita Umno dan dendam lama Shahrizat terhadap Rafidah kini
terpaksa dipikul pula oleh Kamilia yang pada jam 10.45 pagi semalam
sudah pun mengumumkan keluar dari Umno berkuat kuasa serta-merta.
Pembunuhan karekter Kamilia oleh pemimpin Umno sendiri lebih dahsyat
berbanding dengan penarikan diri calon Umno bagi parlimen Pasir Mas, Che
Johan Che Pa yang seakan didiamkan walaupun kesannya lebih dahsyat dari
tindakan Kamilia.
Muhyiddin tidak perlu bersusah payah mengarahkan pejabat agung Umno
mengeluarkan surat pemecatan Kamilia kerana jika dihantar sekalipun ia
pasti akan dilayan sebagai sampah berdaftar sebagaimana yang dilakukan
ke atas batang tubuh dan prinsip perjuangannya selama ini.
Jika Anwar Ibrahim yang pernah menjawat pemimpin kedua dalam Umno boleh
dimalukan semahu-mahunya, apalah sangat dengan orang nombor dua dalam
pergerakan wanita!
Inilah budaya 'pembunuhan' sebenarnya dalam Umno kerana tidak ada siapa
yang akan dipancung jika terus mencium tangan presidennya.
No comments:
Post a Comment